Exco FAM Sedia Letak Jawatan Beramai-Ramai

Foto Fail / Bernama

KUALA LUMPUR: Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan barisan EXCO FAM sedia letak jawatan secara beramai-ramai jika itu pilihan terbaik untuk selamatkan bolasepak negara.

Beliau berkata, mereka rela melepaskan jawatan secara ‘berjemaah’ jika itu adalah pilihan terbaik untuk memastikan badan induk itu tidak digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menurutnya, itu adalah antara pilihan yang sedang difikirkan badan induk itu selepas perjumpaan bersama ahli jawatankuasa di Petaling Jaya semalam.
hari ini.

Jelasnya, pihaknya mengambil maklum mengenai kenyataan yang dikeluarkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang memaklumkan situasi membabitkan FAM sedang dipantau rapat oleh FIFA dan pihaknya.

Namun, buat masa ini tiada lagi ahli jawatankuasa eksekutif FAM yang melepaskan jawatannya dengan mereka akan mengadakan satu lagi mesyuarat selepas ini untuk memuktamadkan kata putus bagi menyelesaikan masalah ini.

“Kita memanggil semua EXCO yang sempat hadir untuk mengadakan perbincangan mengenai hala tuju FAM selepas ini susulan kenyataan AFC itu. Kita mengambil pandangan semua EXCO,” katanya.

Beliau berkata, mereka akan membuat keputusan secepat mungkin dan tidak akan menunggu keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).