Emas Merdeka untuk rakyat Malaysia

Foto Fail/ BA Malaysia

Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengintai peluang untuk menghadiahkan gelaran dunia kedua buat Malaysia apabila turun beraksi di Kejohanan Dunia 2025 yang akan berlangsung di Adidas Arena, Paris dari 25 hingga 31 Ogos ini.

Pasangan ranking nombor dua dunia itu sebelum ini mencipta sejarah apabila muncul wakil pertama Malaysia merangkul gelaran dunia pada edisi 2022 di Tokyo sekali gus menamatkan penantian negara untuk menjulang kejuaraan sulung di pentas berprestij itu.

Aksi final Kejohanan Dunia tahun ini dijadualkan berlangsung pada 31 Ogos, yang juga tarikh sambutan Hari Kebangsaan, justeru Aaron menyifatkan ia sebagai peluang terbaik untuk menghadiahkan ’emas Merdeka’ buat seluruh rakyat Malaysia.

“Saya rasa 2022 pun final berlangsung tiga hari sebelum tarikh hari merdeka. Jadi kali ini harap ada tuah juga. Semoga kami dapat keputusan yang baik di Paris nanti,” kata Aaron ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara di sini.