EAIC Bentuk Badan Khas Siasat Isu Pemain Warisan

Foto Hiasan / EAIC / FA Malaysia

KUALA LUMPUR: Satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi menyiasat dakwaan berkaitan pemalsuan dokumen dan pematuhan prosedur kewarganegaraan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dikaitkan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Penubuhan pasukan itu, menurut EAIC, dibuat mengikut subseksyen 17(1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

Pasukan itu diketuai Timbalan Pengerusi EAIC, Dr Prasad Sandosham Abraham, bersama ahli suruhanjaya, Siti Zainab Omar, Yusof Ismail, Ong Lam Kiat serta pegawai kanan Bahagian Operasi EAIC.

“Mesyuarat Suruhanjaya Bil. 11/2025 memutuskan agar EAIC menjalankan siasatan menyeluruh terhadap aspek integriti, tadbir urus dan pematuhan prosedur dalam pengurusan serta pengesahan dokumen pemain terbabit,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan, semalam.

EAIC meminta kerjasama penuh semua agensi dan pihak berkaitan sepanjang siasatan dijalankan memandangkan isu berkenaan melibatkan kepentingan awam serta integriti negara di peringkat antarabangsa.

Terdahulu, tujuh pemain warisan digantung FIFA selama setahun dan dikenakan denda CHF2,000 (RM11,000), melibatkan Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.