Dua perlumbaan ditangguh ekoran insiden ngeri di Sepang

Foto Tangkap Layar / SPOTV

SEPANG: Juara dunia Moto3, Jose Antonio Rueda dan pelumba dari Switzerland, Noah Dettwiler terbabit dalam perlanggaran ngeri ketika sesi sighting lap di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.

Nahas itu menyebabkan dua perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu terpaksa ditangguhkan.

Insiden berlaku apabila Dettwiler, pelumba CIP Green Power, dilihat menunggang perlahan di bahagian dalam tepi trek sebelum dilanggar dari belakang oleh Rueda yang memecut laju di laluan keluar Selekoh 3.

Hentaman kuat itu menyebabkan kedua-dua pelumba terjatuh dan cedera.

Pasukan perubatan bertindak pantas memberi rawatan awal di tepi trek sebelum kedua-dua mereka dikejarkan ke hospital berdekatan menggunakan helikopter bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Keadaan semasa kedua-dua pelumba masih belum disahkan.

Rueda yang mewakili pasukan Red Bull KTM Ajo, sepatutnya bermula di petak ketiga manakala Dettwiler di kedudukan ke-25. Rueda sebelum ini mengesahkan gelaran juara dunia Moto3 pada GP Indonesia, 5 Oktober lalu.

Berikutan insiden itu, penganjur terpaksa menjadualkan semula perlumbaan Moto3 yang sepatutnya bermula jam 12 tengah hari kepada 1.45 petang, dengan jumlah pusingan dikurangkan daripada 15 kepada 10.

Perlumbaan MotoGP kekal berlangsung pada jam 3 petang, manakala Moto2 ditunda ke jam 4.30 petang bagi memastikan keselamatan pelumba dan keadaan trek berada dalam tahap terbaik sebelum diteruskan.

Insiden mengejutkan itu turut mengundang rasa cemas dalam kalangan penonton dan pasukan, dengan ramai menyifatkannya sebagai peringatan terhadap risiko tinggi dalam sukan permotoran walaupun sebelum perlumbaan sebenar bermula.