
KUALA LUMPUR: Gara-gara melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
FIFA mendakwa FAM menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.
Tujuh pemain itu ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.
Ketujh-tujuh pemain itu beraksi ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
Ia kemudian mengundang aduan rasmi kepada FIFA berhubung status kelayakan beberapa pemain berkenaan.
Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).
Setiap pemain pula dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta.
FIFA turut merujuk isu kelayakan pemain terbabit untuk mewakili Malaysia kepada Tribunal Bolasepak FIFA bagi pertimbangan lanjut.
FAM dan pemain-pemain berkenaan sudah dimaklumkan mengenai keputusan itu dengan hukuman berkenaan masih boleh dirayu kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.
Dalam pada itu, FAM mengesahkan sudah menerima keputusan rasmi daripada FIFA berkaitan pemain warisan.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata pihaknya menegaskan pemain terbabit dan FAM sendiri terlah bertindak dengan niat baik serta penuh ketelusan sepanjang proses berkenaan.
Katanya, FAM telah menguruskan segala dokumentasi sert prosedur mengikut garis panduan ditetapkan.
“Malah FIFA telah meneliti kelayakan pemain dan memberi pengesahan rasmi bahawa mereka layak mewakili Malaysia,” katanya.