
KUALA LUMPUR: Sepanjang pembabitannya dalam sukan badminton hampir 20 tahun, Datuk Lee Chong Wei mengumpul keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah AS$1,814,407.50 (RM7,398,251.64).
Pada ketika itu, ganjaran juara bernilai AS$240,000 (RM978,600) seperti yang ditawarkan pada Kejohanan Jelajah Dunia Akhir sekarang masih belum wujud.
Legenda badminton negara itu berada di kedudukan kelima dalam senarai sepanjang zaman pungutan hadiah wang tunai Persekutuan Badminton Dunia (BWF), dengan carta itu kini diterajui jaguh perseorangan wanita Korea Selatan, An Se Young.
Struktur hadiah wang tunai Jelajah Dunia yang semakin meningkat menyaksikan pemain nombor satu dunia itu, Se Young, sudah meraih keseluruhan AS$2,329,466.25 (RM9,494,405.13) setakat ini.
Pemain Korea Selatan itu juga pendahulu kutipan hadiah wang tunai musim 2025.
Se Young, yang memenangi rekod 10 gelaran musim ini, sudah mengumpul AS$763,175 (RM3,111,562).