
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia diheret ke tiga set sebelum menumpaskan wakil Denmark Ditlev Jaeger Holm untuk mara ke undian utama Terbuka Switzerland di Basel.
Zii Jia yang kini berada di ranking ke-96 dunia dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan Jaeger Holm di ranking ke-61 dunia 21-17, 19-21, 21-16 dalam aksi kedua pusingan kelayakan.
Zii Jia terlebih dahulu memenangi set pertama 21-17, namun Jaeger bangkit mengheret perlawanan ke set penentuan selepas meraih kemenangan tipis 21-19 pada set kedua.
Bagaimanapun, pemain negara itu kembali menguasai permainan pada set ketiga dengan aksi lebih kemas dan tersusun sebelum menoktahkan kemenangan 21-16 dalam tempoh 59 minit.
Kemenangan berkenaan menyaksikan Zii Jia bakal berdepan pemain Singapura yang menghuni ranking ke-33 dunia, Jason Teh pada pusingan pertama.
Terdahulu, Zii Jia memulakan kempen kelayakan dengan langkah kanan apabila menewaskan wakil Jepun, Minoru Koga secara straight set 21-14, 21-10.