
KUALA LUMPUR: Kesalahan memalsukan dokumen kelayakan memang terbukti dan larangan 12 bulan daripada bermain perlawanan adalah hukuman yang munasabah serta seimbang bagi tujuh pemain terbabit.
Tujuh pemain itu adalah Facundo Tomás Garcés Rattaro, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Gabriel Felipe Arrocha, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Panel Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menegaskan hukuman tu mengambil kira tanggungjawab mereka yang bersubahat dalam penipuan itu.
“Namun, selaras dengan Artikel 22 Kod Disiplin FIFA FDC, panel memutuskan bahawa larangan itu hanya terpakai kepada perlawanan sahaja, bukan kepada semua aktiviti berkaitan bolasepak.
“Ini bermakna pemain boleh kembali menjalani latihan bersama kelab masing-masing sepanjang tempoh larangan. Oleh itu, rayuan pemain diterima sebahagiannya dan sekatan itu dipinda sebahagiannya.
“Larangan bermain perlawanan bermula hari ini, 5 Mac 2026, dengan mengambil kira tempoh dari 25 September 2025 hingga 26 Januari 2026 yang telah pun berkuatkuasa sebelum ini.
“Panel CAS juga berpendapat bahawa denda CHF350,000 ke atas FAM adalah wajar dan seimbang,” kata CAS.
Sebagai rekod, perbicaraan secara bersemuka sudahpun berlangsung di ibu pejabat CAS di Lausanne, Switzerland, 26 Februari lalu.