
KUALA LUMPUR: Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan apa sahaja yang akan berlaku di Mahkamah Timbang Tara (CAS) nanti bakal menjadi seperti ‘bom atom’ yang mampu mengubah landskap bola sepak negara dan dunia.
Tarikh 26 Februari mungkin dikenang sebagai hari penting bukan sahaja untuk bola sepak negara bahkan dunia apabila CAS bersidang bagi kes membabitkan tujuh pemain warisan negara.
Tujuh pemain terbabit iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), malah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) juga pasti tidak senang duduk menantikan ‘perbicaraan’ itu.
Menurut Datuk Pekan, banyak kesan yang perlu dihadapi oleh semua pihak yang terbabit dalam ‘pertembungan’ ini sekali gus mereka perlu bersedia dengan apa sahaja kemungkinan yang boleh terjadi selepas perbicaraan selesai.
“Kita boleh kata situasi ini macam peribahasa ‘menang jadi arang, kalah jadi abu’ dan kita melihat impaknya lebih dirasai kepada kita.
“Kalau keputusan tidak berpihak kepada kita, banyak yang akan kita hadapi. Imej kita akan menjadi bertambah buruk di mata FIFA dan mungkin ada lagi hukuman lebih berat yang akan diterima.
“Persepsi terhadap integriti pentadbiran FAM juga akan berubah untuk apa sahaja yang akan kita lakukan selepas ini, contohnya pengambilan pemain berdarah warisan baru ataupun naturalisasi.
“Lebih malang, pembangunan pasukan kebangsaan juga akan menerima tempias yang besar bagi jangka masa panjang selain FAM akan berdepan cabaran untuk memulihkan keyakinan kepercayaan pihak berkepentingan,” katanya.