
KUALA LUMPUR: Model perniagaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sedia ada semakin membebankan negara tuan rumah dan.Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan membida untuk menganjurkan kejohanan utama.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, berkata model semasa perlu distruktur semula supaya lebih adil dan seimbang sebelum badan induk itu mempertimbangkan untuk membida kejohanan berprestij seperti Piala Thomas/Uber atau Piala Sudirman.
Menurutnya, kos penganjuran yang semakin tinggi menjadi faktor utama banyak negara kini dilihat kurang berminat untuk menjadi tuan rumah.
Setakat ini, tiada pembida bagi Piala Sudirman 2027.
“Untuk kita membida kejohanan besar, perlu ada model perniagaan yang adil dan seimbang di antara tuan rumah dan BWF. Kita bukan organisasi berorientasikan keuntungan, tetapi penganjuran juga tidak seharusnya membebankan kewangan persatuan,” katanya.
Kenny berkata, walaupun perubahan format dan peluasan penyertaan pasukan boleh dianggap langkah positif dari sudut pembangunan sukan, ia belum tentu menjamin peningkatan daya tarikan kejohanan.
“Menukar format itu baik, tetapi BWF perlu melihat dua perkara utama. Pertama, mengapa negara-negara tidak membida kejohanan utama. Kedua, bagaimana mahu mengekalkan minat terhadap kejohanan itu sendiri.
“Saya tidak pasti sama ada menambah bilangan hari kejohanan atau jumlah pasukan akan membantu, kerana pada Piala Thomas dan Piala Sudirman misalnya, beberapa hari pertama biasanya kurang mendapat sambutan kerana tiada perlawanan berprofil tinggi,” katanya.
Kelmarin, BWF mengumumkan pusingan akhir Piala Thomas/Uber dan Piala Sudirman akan diperluaskan daripada 16 kepada 24 pasukan sebagai sebahagian penstrukturan semula kejohanan.
Terdapat juga perubahan pada Kejohanan Dunia yang akan menggunakan format peringkat kumpulan diikuti aksi kalah mati, sekaligus memastikan semua pemain beraksi sekurang-kurangnya dua perlawanan, sama seperti format Sukan Olimpik.