
KUALA LUMPUR: Pasukan nombor satu Asean, Johor Darul Ta’zim (JDT) membuka kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini dengan langkah kiri selepas tewas 1-2 di tangan wakil Thailand, Buriram United di Arena Chang.
Keputusan itu menyaksikan Buriram United mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas skuad Harimau Selatan dalam empat pertemuan di ACLE yang menyaksikan skuad bimbingan Osmar Loss menang dua dan seri dua.
Belum sempat perlawanan ‘panas’, JDT mendahului seawal 24 saat menerusi Joao Figueiredo namun Buriram United bernasib baik susulan ia dibatalkan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas bola terkena tangan pemain itu sebelum jaringan dilakukan.
Buriram United membalas enam minit kemudian menerusi penyudah Guilherme Bissoli yang menewaskan Andoni Zubiaurre namun VAR turut membatalkan gol itu memandangkan Bissoli berada dalam keadaan ofsaid.
Tuan rumah sekali lagi terselamat pada minit ke-13 selepas sepakan percuma Ager Aketxe terkena tiang sebelum tandukan pertahanan JDT, Jon Irazabal tersasar tinggi pada minit ke-17.
Bermula daripada sepakan sudut, JDT membuka jaringan pada minit ke-28 selepas Cristian Glauder pantas menyambar bola yang ditepis Neil Etheridge hasil tandukan Irazabal untuk meletakkan JDT di depan 1-0.