Bolasepak Malaysia Kempunan Lagi

Foto FA Malaysia

BANGKOK: Bermain dengan 10 orang, skuad Harimau Muda gagal untuk bersaing memburu ibu segala pingat dalam perlawanan separuh akhir bolasepak Sukan SEA 2025 apabila tewas 0-1 di tangan tuan rumah, Thailand.

Maka kemarau pingat emas skuad bolasepak bawah 23 (B-23) tahun negara berterusan dengan kekalahan di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Thailand, naib juara edisi 2023 hanya memerlukan lapan minit untuk berada di depan selepas sepakan percuma menarik Yotsakorn Burapha berjaya menewaskan penjaga gol skuad negara, Zulhilmi Sharani.

Ketika Harimau Malaya B-23 cuba bangkit memburu gol penyamaan, malang menimpa skuad negara apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain ketika perlawanan baru memasuki minit ke-16 selepas Muhammad Aiman Yusuf Muhammad Nabil dilayangkan kad kuning kedua susulan tindakannya menarik Iklas Sanron.

Meskipun kekurangan seorang pemain, anak buah Nafuzi Zain tetap mampu mengimbangi permainan Thailand, malah beberapa kali mencemaskan kubu lawan terutama menerusi percubaan Haykal Danish Mohd Haizon dan Faris Danish Mohd Asrul pada minit ke-29 dan 32 yang memaksa penjaga gol, Sorawat Phosaman melayangkan badan untuk melakukan tindakan menyelamat.

Kubu skuad negara bagaimanapun dipaksa bekerja keras untuk menepis asakan bertali arus Thailand dalam 20 minit terakhir dengan Zulhilmi beraksi cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya termasuk rembatan deras Thanakrit Chotmuangpak pada minit ke-76.

Harimau Malaya B-23 juga mencipta beberapa peluang pada penghujung perlawanan tetapi gagal menghasilkan jaringan, sekaligus membolehkan Thailand meraih tiket ke pentas akhir.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia gagal melangkah ke final dalam empat edisi berturut-turut selepas kali terakhir pada 2017 di Kuala Lumpur yang mana skuad negara tewas 1-0 kepada Thailand untuk meraih perak.