Bertungkus Lumus Sebelum ke Separuh Akhir

Foto BA Malaysia

KUALA LUMPUR: Vietnam dianggap pasukan badminton lemah tetapi skuad
berpasukan wanita negara dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan tempat ke separuh akhir Sukan SEA selepas menewaskan Vietnam 3-1.

Pada aksi suku akhir yang diadakan di Gymnasium 4 Thammasat University, Malaysia menurunkan K Letshanaa sebagai pemain perseorangan wanita pertama untuk mendapatkan mata sulung namun wakil negara itu dikejutkan dengan kekalahan kepada lawan dari Vietnam.

Nugyen Thuy Linh yang tewas set pertama 15-21 bangkit dua set seterusnya untuk menang dalam pertarungan tiga set 21-10, 23-10 sekali gus memberi kelebihan buat Vietnam 1-0.

Pemain muda perseorangan wanita kedua negara, Wong Ling Ching menyamakan kedudukan 1-1 namun perlu bertarung sehingga tiga set sebelum mengesahkan kemenangan ke atas Vu Thi Trang 21-14, 20-22, 21-14.

Beregu nombor dua dunia, Pearly Tan- M Thinaah tidak berdepan sebarang masalah untuk mencatat kemenangan straight set ke atas Pham Thi Dieu Ly- Pham Thi Khanh 21-12, 21-8.

Pemain perseorangan wanita ketiga, Siti Zulaikha Azmi memastikan skuad negara ke separuh akhir selepas menamatkan cabaran Bich Phuong Bui dengan kemenangan straight set 21-19, 21-19.

Di separuh akhir, Malaysia akan bertemu Indonesia yang terlebih dahulu layak ke kelompok empat terbaik selepas mudah membenam Myanmar 3-0 di suku akhir.