‘Bertumbuk’ di gelanggang futsal: FAM akan bertindak tegas

Foto Harian Metro

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit dalam kekecohan yang tercetus di Arena Futsal Negeri Sembilan selepas ketua jurulatih Sabah, Roger Filipe, ditumbuk penolong jurulatihnya sendiri.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya sudah meminta laporan penuh daripada pegawai perlawanan dan pengadil sebelum kes berkenaan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib.

“Kita sedang meneliti insiden pergaduhan itu dan menunggu laporan daripada pegawai perlawanan serta pengadil. Semua maklumat tersebut akan dikumpul dan diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk tindakan selanjutnya.

“Sekiranya didapati bersalah, jurulatih terbabit boleh dikenakan hukuman gantung dan denda,” katanya.

Terdahulu, insiden panas itu berlaku selepas tamat aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Futsal Malaysia yang menyaksikan Sabah tewas 3-4 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT).