Beregu Wanita, Campuran Layak ke Final

Foto BA Malaysia

KUALA LUMPUR: BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah berada dalam kelas tersendiri apabila berada di landasan terbaik untuk menghadiahkan kejuaraan Kejohanan Badminton Dunia 2025 sempena Hari Kebangsaan ke-68 negara pada Ahad.

Peluang tersebut hadir selepas pasangan nombor dua dunia itu mara ke pentas final kejohanan berprestij tersebut selepas mengalahkan Nami Matsuyama-Chiharu Shida dalam saingan separuh akhir yang mendebarkan sehingga ke set penentuan di Perancis sebentar tadi.

Malah sejarah baru juga terukir apabila mereka menjadi beregu wanita pertama Malaysia mara ke saingan akhir sejak kejohanan itu mula dipertandingkan di Malmo, Sweden pada tahun 1977.

Dalam aksi di Adidas Arena, Paris itu, Pearly-Thinaah memberikan tentangan sengit pada set pertama, namun ia belum cukup apabila tewas 14-21 kepada gandingan Jepun yang berstatus ketiga dunia.

Pasangan negara cuba bangkit menyusun semula strategi permainan bersama jurulatih, Rosman Razak dan nyata ia berbaloi apabila mereka menang 21-13 untuk melanjutkan permainan ke set penentuan.

Debaran kian terasa apabila kedua-dua gandingan saling bertukar mata, namun kelebihan mendominasi permainan mengesahkan kemenangan buat Pearly-Thinaah 21-12 dalam masa 68 minit permainan.

Keputusan tersebut menyaksikan rekod kemenangan Pearly-Thinaah ke atas pasangan Jepun itu meningkat kepada 3-13.

Tugas sukar bagaimanapun menanti pasangan negara apabila dijadualkan menentang gandingan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning atau wakil Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi di pentas final esok.

Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut menempah tempat ke final Kejohanan Badminton Dunia di Paris apabila menewaskan wakil tuan rumah, Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-18, 21-16 di pentas separuh akhir.

Tang Jie-Ee Wei dijadual bertemu beregu pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin di pentas final, esok.

Kejayaan gandingan keempat dunia itu secara tidak langsung mengiringi langkah beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang turut mara ke final.

Foto BA Malaysia