
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, tewas pada aksi final sebentar tadi.
Pasangan nombor dua dunia itu terpaksa akur kepada kehebatan gandingan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho–Seo Seung Jae, selepas kalah 15-21, 21-12, 18-21 dalam pertarungan sengit di Axiata Arena Bukit Jalil.
Sementera itu, Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei, mengesahkan badan induk itu merancang membawa masuk lima hingga enam jurulatih baharu bagi memperkasakan struktur kejurulatihan skuad kebangsaan, termasuk pasukan remaja.
Menurut Chong Wei, pengumuman rasmi berhubung pelantikan jurulatih berkenaan dijangka dibuat dalam masa terdekat, bergantung kepada kelulusan peruntukan kewangan yang sedang dimuktamadkan.
Beliau turut mengesahkan antara calon jurulatih yang disenaraikan ialah bekas jurulatih Lee Zii Jia, Yeoh Kay Bin, serta bekas pemain beregu lelaki kebangsaan, Mohd Zakry Abdul Latif, selain dua jurulatih dari luar negara.
“Bila bajet sudah lulus, barulah senang untuk kita lantik jurulatih. Bukan Kay Bin sahaja, kita juga akan ambil beberapa jurulatih baharu untuk pasukan remaja kebangsaan,” katanya.
Difahamkan, Kay Bin dijangka mengambil alih peranan Datuk Tey Seu Bock yang kembali membimbing skuad perseorangan senior sebagai ketua jurulatih perseorangan remaja, manakala Zakry pula bakal menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih beregu wanita negara.
Chong Wei menjelaskan, keseluruhan pelantikan membabitkan lima hingga enam jurulatih itu merangkumi kedua-dua peringkat senior dan remaja, selari dengan usaha BAM membangunkan pemain secara menyeluruh.