
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, mengesahkan kemaraan ke pentas final, sebentar tadi selepas menundukkan pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhamad Shohibul Fikri.
Disokong sorakan padu lebih 10,000 penonton di Axiata Arena Bukit Jalil, pasangan nombor dua dunia itu beraksi cemerlang menyingkirkan gandingan keenam dunia itu 23-21, 21-19 dalam aksi separuh akhir yang mendebarkan.
Dalam pada itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mendedahkan mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM55 juta setahun bagi menampung kos pengurusan dan pentadbiran, termasuk gaji dan imbuhan pemain serta jurulatih selain perbelanjaan menghantar pemain menyertai kejohanan antarabangsa.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata setakat November tahun lalu, BAM sudah membelanjakan RM54 juta, dengan dua komponen terbesar membabitkan bayaran kepada pemain dan jurulatih, selain kos penyertaan kejohanan.
“Akaun belum ditutup lagi, tetapi sehingga akhir November, jumlah perbelanjaan hampir RM54 juta,” katanya.
Sementara itu, BAM memberi kuasa penuh kepada Jawatankuasa Prestasi BAM yang dipengerusikan Datuk Seri Lee Chong Wei, selain pengarah kejurulatihan perseorangan, Kenneth Jonassen, dan pengarah kejurulatihan beregu, Rexy Mainaky, untuk memutuskan struktur kejurulatihan, program latihan serta pelantikan jurulatih baharu dalam skuad kebangsaan.
Tengku Zafrul berkata, pelantikan baru tidak lagi perlu dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat majlis, sebaliknya memadai diputuskan di peringkat Jawatankuasa Prestasi sebelum dimaklumkan kepada majlis.