
KUALA LUMPUR: Gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menundukkan pasangan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu 21-16, 21-11 dalam aksi final Terbuka Australia di Sydney hari ini.
Kemenangan itu akhirnya menamatkan penantian mereka bagi meraih gelaran Jelajah Dunia BWF tahun ini.
Bermain selaku pilihan utama kejohanan, gandingan nombor empat dunia itu mempamerkan aksi bertenaga di pentas final untuk menundukkan pasangan Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu.
Dalam perlawanan menghiburkan itu, Tang Jie-Ee Wei yang turut memegang status juara dunia tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan straight set dalam tempoh 42 minit.
Dominasi pasangan negara terserlah sejak awal permainan apabila mereka bijak menyerap asakan lawan dengan aksi yang cukup kemas dan kurang melakukan kesilapan mudah.