Belia Ejen Perpaduan, Bukan Pencetus Perpecahan

Foto Sinar Harian

SEBERANG JAYA: Belia adalah ejen perpaduan yang menyatukan rakyat berbilang kaum dan agama, bukannya terpengaruh dengan retorik yang boleh memecah-belahkan keharmonian negara, kata Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Menurutnya, belia bukan sekadar diukur berdasarkan usia muda sebaliknya perlu memiliki kualiti kepimpinan, prinsip dan jati diri yang kukuh dalam mempertahankan perpaduan nasional.

“Belia ini bukan hanya sekadar umurnya yang muda tetapi belia yang berkualiti, belia yang menjadi ejen perpaduan dan menyatupadukan rakyat tanpa mengira bangsa, kaum, agama atau latar belakang,” katanya selepas merasmikan Program Santuni Pertubuhan Belia Peringkat Kebangsaan 2026 dan Majlis Peluncuran Sejati Madani X Belia di sini semalam.

Menurut beliau, belia tidak seharusnya melayan sebarang retorik perpecahan yang boleh mengganggu keselamatan serta kesejahteraan negara sebaliknya perlu menjadi benteng kepada usaha memecah-belahkan masyarakat.

“Kalau bukan anak muda yang menjadi ejen perpaduan ini, siapakah lagi yang kita ingin harapkan?

“Sebab itu, belia perlu faham dan memaknai sendiri erti perpaduan kerana ia adalah aset penting negara,” katanya.

Beliau menegaskan, belia yang mencetuskan perpecahan, menjadi batu api atau memainkan sentimen kaum dan agama tidak layak digelar sebagai belia berkualiti.