
KUALA LUMPUR: Tindakan individu yang melemparkan komen, atau mesej berbaur penghinaan dan ugutan terhadap pemain badminton negara di media sosial dikecam oeh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
BAM menegaskan bahawa tiada ruang untuk kebencian, intimidasi atau diskriminasi dalam sukan mahupun masyarakat, sambil menegaskan keselamatan serta kebajikan atlet sentiasa menjadi keutamaan badan induk itu.
“BAM menyedari insiden kebelakangan ini membabitkan penyalahgunaan media sosial terhadap pemain negara.
“Tiada tempat untuk kebencian, ugutan atau diskriminasi dalam badminton atau dalam masyarakat. Keselamatan dan kesejahteraan atlet adalah keutamaan kami,” kata BAM dalam kenyataan berkenaan.
BAM turut menggesa orang ramai menzahirkan pandangan secara berhemah dan positif, selain memberi sokongan moral kepada pemain yang mewakili negara di pentas antarabangsa.
“Kami akan terus memantau keadaan ini dengan teliti dan memberikan sokongan kepada pemain yang memerlukan,” katanya.