
KUALA LUMPUR: Andainya siasatan pihak berkuasa di empat negara lain mendapati wujudnya unsur jenayah dalam skandal pemalsuan dokumen pemain warisan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berisiko berdepan tekanan lebih meruncing.
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini mengesyorkan siasatan dibuat oleh lima negara termasuk Brazil, Argentina, Belanda, Sepanyol dan Malaysia susulan dakwaan terdapat pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad berkata, seandainya empat negara lain turut melakukan siasatan dan menemui bukti terdapat pemalsuan dokumen, ia akan turut memberi kesan besar kepada Malaysia.
“Terpulang kepada pihak berkuasa kita. Kalau kita tak jumpa apa apa, bagaimana pula kalau empat negara lain dapat hasil sebaliknya? Ia jadi 4-1. Dalam bola sepak pun, keputusan itu menunjukkan kita sudah kalah,” kata Ridzuan.