Azlan Beri Hadiah Merdeka

Foto ARRC

KUALA LUMPUR: “Kemenangan ini untuk Malaysia, selamat Hari Merdeka!,” kata pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman yang memastikan lagu Negaraku terus bergema di Mandalika, Indonesia selepas menjuarai Perlumbaan 2 kelas elit ASB1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), hari ini.

Kemenangan pelumba berpengalaman itu bukan sahaja menjadi hadiah terindah sempena sambutan Hari Kebangsaan, tetapi menyaksikan kebangkitan kembali pelumba pasukan A1 Energy BMW Racing Team itu selepas bergelut dengan prestasi musim ini.

Memulakan perlumbaan di petak keempat, bekas juara Asia itu mempamerkan tunggangan terbaik untuk menamatkan saingan dengan masa 20 minit 55.147 saat, mengatasi pelumba Jepun, Keito Abe di tempat kedua.

Pelumba tuan rumah, Andi Farid Izdihar melengkapkan podium di tempat ketiga.

“Jika melihat perjalanan bersama pasukan, tahun ini agak lewat bagi saya untuk berada pada prestasi terbaik. Saya bergelut dengan jentera dan diri sendiri.

“Tahun lalu di Mandalika, saya mempunyai memori yang menakutkan, mengalami highside di perlumbaan 8 Hours, dan saya hilang semua motivasi,” katanya..