
KUALA LUMPUR: Bekas juara dunia keirin, Datuk Azizulhasni Awang, menandakan kemunculan semula selepas setahun berehat dengan persembahan bertenaga pada Kejohanan Trek Piala Asia di Thailand, semalam.
Pelumba berusia 37 tahun itu, yang hanya kembali menjalani latihan trek bulan lalu, menamatkan saingan di tempat kelima acara keirin elit lelaki di Velodrom Suphanburi. Pingat emas menjadi milik pelumba tuan rumah, Jai Angsuthasawit, manakala perak diraih wakil Taiwan, Kang Shi Feng, dan gangsa milik pelumba Korea Selatan, Oh Je Seok.
Malaysia bagaimanapun berdepan nasib malang apabila Ridwan Sahrom yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua dibatalkan dan diturunkan ke tangga ketujuh kerana melakukan kesalahan teknikal.
Bagi Azizulhasni, yang kini bergelar pelumba profesional sejak April lalu, kejohanan berstatus Kelas Satu Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu menjadi medan penting untuk menguji tahap dirinya selepas kali terakhir beraksi di Olimpik Paris 2024.
Jurulatih kebangsaan, Harnizam Basri, menyifatkan kepulangan semula jaguh berpengalaman itu sebagai sesuatu yang positif.
“Prestasi Azizul boleh dianggap baik apabila menamatkan saingan di tempat kelima walaupun sudah setahun tidak beraksi. Aksi terakhirnya adalah di Olimpik Paris Ogos lalu dan dia baru memulakan latihan penuh beberapa bulan kebelakangan ini,” katanya.