Azizulhasni Awang Masih Berbisa

Foto Fail

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dilihat masih mampu tampil selaku pencabar utama dalam pertandingan elit selepas meraih pingat gangsa dalam acara pecut individu lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Piala Asia 2025 di Suphanburi, Thailand, kelmarin.

Bagi Azizulhasni atau terkenal dengan panggilan The Pocket Rocketman, dia sangat gembira meraih kedudukan podium selepas berehat agak panjang dan kembali dalam masa yang agak singkat sebagai persediaan pertandingan di Thailand ini.

“Saya berjaya mendapat pingat gangsa dalam acara pecut individu hari ini (semalam). Satu permulaan yang sangat baik buat diri saya setelah membuat penampilan semula dalam arena berbasikal trek.

“Ini juga adalah perlumbaan antarabangsa yang pertama selepas memulakan latihan di velodrom pada awal Julai lalu,” tulisnya menerusi hantaran di media sosial miliknya.

“Sudah tentu masih banyak yang perlu dipertingkatkan dan saya sendiri sangat teruja untuk fasa latihan seterusnya. Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan serta doa untuk karier saya selama ini,” katanya.