
NILAI: Jaguh lumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni “The Pocket Rocketman” Awang mensasarkan masa terbaik peribadinya dalam acara pecut menjelang temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.
Selepas meraih pingat emas dalam acara keirin pada Siri Trek Asean (Piala Presiden) 1&2 di Velodrom Nasional di sini, semalam, pelumba itu berharap momentum baiknya dapat terus kekal dan ditingkatkan menjelang temasya itu nanti.
“Pada kejohanan ini, masa yang saya catatkan dalam acara pecut antara 9.5 hingga 9.9 saat berbanding di Olimpik masa terbaik saya 9.4 saat. Bagaimanapun untuk pelumbaan seperti ini, ia suatu catatan yang baik walaupun cabarannya bukan mudah.
“Untuk dapatkan catatan masa 9.8 atau 9.9 saat itu sudah dilihat sebagai cabaran besar apa lagi jika mahu mendapatkan 9.4s. Namun, saya perlu berusaha keras untuk kekalkan prestasi baik ini jika mahu mencapai kembali masa terbaik 9.4 saat yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Sasaran KPI (petunjuk prestasi utama) saya adalah menjelang Sukan Komanwel tahun ini, walaupun masih ada masa, tapi saya tidak anggap ia terlalu lama,” katanya.