
KUALA LUMPUR: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, memecahkan rekod kebangsaan 200 meter (m) dalam dewan pada kejohanan jemputan Tiger Paw, di Clemson, Carolina Utara, Amerika Syarikat, awal pagi semalam.
Catatan 21.20 saat Azeem memadam rekod miliknya sendiri iaitu 21.50s yang dilakukan di kejohanan jemputan Bob Pollock di Clemson, 2 Februari lalu.
Azeem yang juga pelajar Universiti Auburn, memadam rekod terdahulu 22.86s dilakukan Timothy Tan di Manchester Indoor Meet 2019 namun catatan terbaru itu menyaksikan dirinya menamatkan saingan di kedudukan ke-21 daripada 48 pelari.
Sebagai rekod, kelmarin Azeem terlepas peluang untuk beraksi di final dalam acara 60m selepas menamatkan saingan separuh akhir di tempat kesembilan dengan catatan 6.65s.
Bulan lalu, Azeem memenangi acara 60m pada Kejohanan Jemputan UAB Blazer di Birmingham CrossPlex, Alabama dengan catatan 6.60s.