
KUALA LUMPUR: Sesawang Transfermarket.com menganggarkan nilai pasaran pemain sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi terus melonjak dengan pemain itu kini dianggarkan bernilai RM3.18 juta.
Bermula dengan nilai pasaran RM612,000 pada 2019, ia melonjak kepada RM734,000 sebelum mencecah RM1.46 juta pada 2022.
Nilai pasaran Arif Aiman terus meningkat kepada RM1.9 juta dan beliau menikmati ‘tanda harga’ RM2.2 juta pada 2023 disusuli peningkatan kepada RM2.69 juta.
Pada nilai RM3.18 juta, Arif Aiman muncul sebagai pemain tempatan dengan nilai pasaran tertinggi di Liga Super.
Kemaskini terakhir itu menyaksikan nilai pasaran pemain berusia 23 tahun itu melonjak sebanyak 8.3 peratus daripada nilai sebelum ini iaitu RM2.9 juta.
Nilai pasaran Pemain Paling Bernilai (MVP) empat kali berturut-turut itu juga tidak pernah jatuh sebaliknya terus ‘agresif’ memperagakan peningkatan signifikan sejak berusia 19 tahun.
Nilai pemain ini dijangka terus meningkat apatah lagi beliau mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia pertama tercalon bagi Anugerah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang akan berlangsung 16 Oktober ini.
Tercalon dalam kategori Pemain Terbaik Tahunan AFC, tonggak Harimau Selatan itu akan berdepan cabaran hebat daripada dua calon lain iaitu pemain kebangsaan Qatar, Akram Afif dan bintang Arab Saudi, Salem Al Dawsari.