Anwar Raikan Kunjungan Johan Ghazali

Foto PMO

KUALA LUMPUR: Ikon muda Muay Thai negara Johan “JoJo” Ghazali diraikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya malam semalam.

Pertemuan itu sangat bermakna kerana Jojo hadir bukan sekadar sebagai atlet, tetapi sebagai lambang semangat juang generasi muda yang mengangkat nama Malaysia di persada dunia.

Ia juga membuka ruang kepada perbincangan mengenai hala tuju pembangunan sukan Muay Thai di peringkat nasional.

Ia memberi isyarat jelas bahawa kerajaan komited memperkukuh ekosistem sukan tempur melalui pendekatan menyeluruh dan berstruktur.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut menyatakan komitmen untuk terus memperkasa bakat muda sepertinya dengan menyediakan kemudahan latihan lebih tersusun serta laluan kerjaya yang jelas dalam bidang sukan tempur.

Berikut adalah kenyataan Datuk Seri Anwar:

Saya berbesar hati menerima kunjungan Johan Ghazali (Jojo), atlet Muay Thai muda yang telah mengharumkan nama Malaysia yang telah menempah kejayaan yang amat membanggakan di pentas antarabangsa. Keazaman, disiplin dan semangat juang yang ditunjukkan oleh saudara Jojo mencerminkan nilai sebenar seorang anak muda Malaysia yang tidak mudah mengalah dalam mengejar impian.

Lebih membanggakan, saudara Jojo turut aktif menyuarakan pandangan dan menyertai kempen kesedaran bagi membanteras budaya buli, serta menyuntik inspirasi kepada anak muda untuk membina keyakinan diri, keteguhan jati diri dan semangat positif dalam kehidupan seharian.

Saya yakin dengan semangat dan dukungan berterusan, lebih ramai atlet muda akan lahir untuk mengharumkan nama negara di persada dunia.

Kata mantan Presiden Amerika Syarikat John F. Kennedy, “ask not what your country can do for you but ask what you can do for your country” yang menyemai budaya kecintaan kepada negara dan semangat kolektif membangun negara dan masyarakat.

Tahniah Jojo atas kejayaan dan komitmen terhadap negara dan masyarakat. Justeru, teruskan usaha gigih saudara yang menyinar serta meniup inspirasi kepada generasi muda yang cinta serta mahu menyumbang pada negara.