Anak Harimau Malaya jadi budak belasahan

Foto FA Malaysia

KUALA LUMPUR: Kalah kepada pasukan kuat seperti Croatia memang sudah diduga. Tetapi apabila kalah 0-11, banyak persoalan timbul.

Adakah kita menghantar pasukan bawah 12 tahun walaupun ia sekadar perlawanan persahabatan?

Yang nyata ia satu tamparan besar buat pasukan Malaysia Bawah 16 tahun (B-16).

Wajarlah pengurus pasukan B-16, Datuk Dollah Salleh, menanti laporan penuh daripada kejurulatihan untuk mengetahui punca sebenar kegagalan itu.

Pasukan B-16 itu sedang bersedia menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia B-17 2026 dengan menjalani latihan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) sebelum menghadapi cabaran Kumpulan C di Hanoi, Vietnam.

Umum mengetahui bahawa 30 pemain dibarisi daripada akademi, mahupun pusat pembangunan bola sepak terkemuka negara termasuk penjaring terbanyak Piala Belia 2025 dari skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) IV, Arayyan Hakeem Norizam.

Ia sebagai persiapan bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia B-17 2026 yang akan berlangsung dari 20 hingga 30 November ini.