
KUALA LUMPUR: Akbat tersingkir seawal pusingan pertama Masters Indonesia di Jakarta bersama pasangannya, pemain beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin menjadi sasaran serangan serta ugutan dalam talian.
Yew Sin mendedahkan perkara itu menerusi satu hantaran di Instagram dengan memuat naik tangkapan skrin mesej berunsur ancaman yang diterimanya susulan kekalahan itu.
Dia bersama pasangannya, Teo Ee Yi tewas 18-21, 15-21 kepada beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan.
Mesej itu mengandungi ugutan serius, termasuk ancaman untuk mencederakan Ee Yi sekiranya pasangan negara terus mencatat keputusan mengecewakan.
Antara kandungan mesej berkenaan berbunyi: “Kalian patut bersara sahaja. Saya akan melakukan segala yang termampu untuk memaksa kamu bersara.
“Jika kamu terus gagal dan tewas kepada lawan yang sepatutnya bukan masalah, suatu hari nanti saya akan datang dan perkara buruk akan berlaku.
“Saya akan membawa pisau dan menetak tangan Ee Yi supaya kamu terpaksa menukar pasangan atau bersara.”
Insiden itu menjadi kes terbaru membabitkan serangan dan ugutan dalam talian terhadap pemain badminton negara, sekaligus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan serta kesejahteraan mental atlet yang beraksi di peringkat antarabangsa.