Aira cipta hatrik, Duncan catat sejarah

Pemain wanita negara Aira Azman mengukuhkan penguasaannya selepas merangkul gelaran ketiga berturut-turut pada Kejohanan Skuasy Kebangsaan 2025 di Pusat Skuasy Antarabangsa Pulau Pinang semalam.

Pada edisi ke-40 kejohanan itu, juara bertahan berusia 20 tahun berkenaan menewaskan kakaknya Aifa, 23, dengan keputusan 8-11, 11-5, 9-11, 11-6, 11-8 pada aksi akhir kategori wanita.

“Saya sangat gembira dengan corak permainan hari ini walaupun berdepan kakak buat kali kedua di pentas kebangsaan. Ia memang perlawanan yang cukup mencabar dan saya amat berpuas hati dapat meraih gelaran ketiga kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, Duncan Lee mencipta sejarah tersendiri apabila merangkul gelaran pertama pada Kejohanan Kebangsaan selepas menewaskan Sanjay Jeeva dalam pertembungan sengit kategori lelaki.