
SEPANG: Air mata gembira ratu wushu negara, Tan Cheong Min gugur apabila dirinya menamatkan penantian enam tahun untuk kembali melakar kejuaraan di Kejohanan Dunia, membawa pulang dua pingat emas dan satu perak di Brasilia, Brazil, baru-baru ini.
Cheong Min ketika ditemui media sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam gagal menahan rasa terharunya apabila mengenang perjalanan penuh liku diharungi sebelum kembali bergelar juara dunia.
Kali terakhir atlet berusia 27 tahun meraih gelaran dunia adalah di Kejohanan Dunia 2019 di Shanghai, China apabila meraih emas dalam acara nandao wanita.
Begitupun, perjalanannya selepas itu bagaimanapun dilihat penuh berliku dengan pandemik COVID-19 selain terpaksa akur dengan pungutan gangsa di Amerika Syarikat 2023.
“Itu adalah antara keputusan yang paling mengecewakan. Kami menyertai kejohanan berturut-turut seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Tempur Dunia sebelum berlepas ke Amerika,” katanya dengan nada penuh sebak.
“Badan saya tidak dapat rehat secukupnya dan saya berasa kurang sihat di sana. Ia sangat sukar.”