AFC: Slot ACLE 2026-27 Belum Muktamad — Malaysia Dijangka Dapat 2 Slot

Foto BH

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menegaskan tiada sebarang keputusan muktamad dibuat berhubung agihan slot tambahan untuk Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) musim 2026-27. Setiausaha Agung AFC Datuk Seri Windsor Paul John menjelaskan laporan yang tersebar di media sosial mendakwa format baharu berpihak kepada kuasa besar Asia hanyalah salah satu cadangan dalam perbincangan pengembangan kejohanan daripada 24 kepada 32 pasukan.

Cadangan pengembangan slot itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bola Sepak Profesional AFC pada Jumaat ini sebelum dibawa ke Jawatankuasa Eksekutif untuk keputusan muktamad. Berdasarkan laporan yang beredar, Malaysia dan Iraq masing-masing dijangka menerima dua slot iaitu satu slot terus ke ACLE dan satu slot ke ACL2 — sekiranya cadangan itu diluluskan.