
KUALA LUMPUR: Pentadbiran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan peletakan jawatan oleh semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu yang berkuatkuasa serta-merta akan dikendali oleh satu pasukan pengurusan.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John, menjelaskan satu pasukan daripada AFC akan membantu dalam pengurusan FAM.
Beliau berkata, kehadiran pihaknya adalah atas permintaan FAM bagi membantu membuat penilaian ke atas beberapa aspek terutamanya membabitkan urus tadbir pengurusan dan pentadbiran bolasepak.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan mengenal pasti sebarang kelemahan atau jurang yang wujud serta meletakkan tanda aras baharu yang bersesuaian dengan standard persatuan bola sepak masa kini.
“Kita nak lihat apa yang lemah dan apa jurang yang ada. Kita akan bentangkan laporan kepada pihak berkepentingan (stakeholder) pada Kongres FAM nanti untuk persetujuan.
“Namun sebelum itu, satu pasukan AFC yang diketuai oleh Vahid Kerdani (Timbalan Setiausaha Agung AFC) bersama konsultan akan membuat penilaian terperinci sebelum laporan akhir diserahkan kepada FAM.
“Matlamat kita adalah untuk menjadikan FAM satu persatuan yang lebih mantap sebelum kongres diadakan,” katanya.
Mengulas mengenai operasi FAM dalam tempoh interim itu, Windsor menjelaskan bahawa mandat diberikan kepada Setiausaha Agung dan Bendahari FAM untuk menguruskan hal-ehwal kewangan.
“Apa yang diputuskan adalah untuk meneruskan operasi FAM. Tanggungjawab diberikan kepada setiausaha agung dan bendahari untuk memastikan segala aspek kewangan diuruskan sementara dalam masa interim.
“Ini tidak bercanggah dengan Statut FAM. Memandangkan Exco sudah tiada, prosedur membenarkan setiausaha agung dan bendahari menggalas tanggungjawab tersebut,” katanya.