
KUALA LUMPUR: Datuk Abdul Latif Romly mencatat sejarah buat Malaysia apabila berjaya meraih emas sekaligus memecah rekod dunia dalam acara lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di New Delhi, semalam.
Dalam pertandingan itu, Latif berjaya melakukan lompatan sejauh 7.67-meter (m) untuk memecah rekod dunia selepas memperbaiki rekod sendiri, 7.64m yang dilakukan pada Sukan Para Asia 2018.
Bukan itu sahaja, atlet kelahiran Perlis itu juga memadam rekod kejohanan milik Ranki Oberoi dari Belanda, 7.39m yang dilakukan di Dubai pada 2019 seawal lompatan pertama, 7.61m.
“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi saya hari ini kerana berjaya memecahkan dua rekod (rekod kejohanan dan rekod dunia) di New Delhi. Saya ingin mendedikasikan pingat ini kepada isteri dan anak-anak saya.
“Mengimbangi latihan dengan masa untuk isteri serta bayi yang bakal lahir tidak lama lagi, kedua-duanya penting dan kuncinya ialah disiplin,” katanya.
Pingat perak diraih oleh Hassan Dawshi dari Arab Saudi yang melakukan lompatan sejauh 7.36m dan Matvei Iakushev dari Rusia pula meraih gangsa, 7.22m.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berbangga dengan pencapaian Latif itu dan melihat kejayaan itu hasil usaha atlet berkenaan selama ini.