
KUALA LUMPUR: Astro bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan berkolaborasi dalam program reliti terbaru yang dinamakan Jaguh Rakan Muda. Seramai 80 belia dari seluruh negara akan berentap dalam program realiti itu.
Program berkonsepkan pertandingan itu akan mula bersiaran pada 10 November ini dengan menampilkan pelbagai cabaran fizikal dan mental bagi merebut gelaran Jaguh Rakan Muda serta hadiah utama bernilai RM100,000.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, program realiti tersebut bertujuan menonjolkan kehebatan dan potensi belia Malaysia, selain memberi inspirasi kepada penonton melalui kisah keberanian serta semangat berpasukan.
“Apabila kita berbincang dengan Astro mengenai konsep program realiti yang kedua ini, kita bayangkan ingin melahirkan kumpulan belia yang all-rounded. Mereka aktif, suka aktiviti fizikal dan rekreasi. Pada awalnya, kita jangka peserta-peserta ini terdiri daripada mereka yang berbadan sasa dan tinggi.
“Namun, apabila saya hadir ke sesi penggambaran dan melihat sendiri finalis yang terpilih, saya terkejut melihat kekuatan sebenar bukan hanya terletak pada bentuk fizikal semata-mata. Kita ada gadis-gadis muda yang bertubuh kecil tetapi memiliki kekuatan luar biasa.
“Semangat kerjasama dan kepelbagaian inilah yang kita mahu raikan kerana diversity is strength,” katanya.