7 pemain warisan bakal saman FAM

Foto Fail

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mungkin disaman oleh tujuh pemain warisan berikutan ada ura-ura pemain-pemain itu sedang berunding dengan peguam di luar negara untuk menyaman FAM susulan tindakan denda dan penggantungan oleh Fifa.

Pada September, FAM dan tujuh pemain warisan skuad kebangsaan dikenakan tindakan oleh Fifa selepas didapati FAM mengemukakan dokumen dipalsukan berhubung salasilah pemain.

Memetik sumber, Harian Metro melaporkan, pemain-pemain terbabit mempertimbangkan tindakan undang-undang ekoran kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen dilakukan kakitangan pentadbiran FAM sehingga menyebabkan pemain-pemain itu digantung selama setahun.

“Difahamkan peguam di luar negara sedang berunding dengan tujuh pemain itu bercadang untuk mempertimbangkan menyaman FAM kerana kesilapan teknikal yang mereka sendiri sahkan.

“Tujuh pemain itu boleh berbuat begitu dan ia bukan perkara mengejutkan kerana periuk nasi mereka hilang sebab digantung,” kata sumber itu.

Kontrak beberapa beberapa pemain turut ditamatkan serta-merta oleh kelab berikutan isu itu.

Menurut sumber lagi, langkah sedemikian dipertimbangkan agar pemain-pemain terbabit dapat membersihkan nama mereka, memudahkan mereka mencari kelab baru selepas tempoh penggantungan berakhir.

Pemain-pemain itu adalah Gabriel Felipe Arrocha; Facundo Tomás Garces; Rodrigo Julián Holgado; Imanol Javier Machuca; Joao Vitor Brandao Figueiredo; Jon Irazabal Iraurgui; dan Hector Alejandro Hevel Serrano.