7 Pemain Warisan Bakal Hadapi Tribunal FIFA

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Tujuh pemain warisan negara perlu berdepan satu lagi perbicaraan iaitu Tribunal FIFA yang akan bersidang dalam masa terdekat.

Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengekalkan hukuman penggantungan 12 bulan serta denda yang dikenakan ke atas tujuh pemain berkenaan.

Namun, perjalanan mereka belum berakhir kerana satu lagi proses menanti di peringkat FIFA.

Ini membabitkan Tribunal FIFA yang akan menilai serta menentukan status kelayakan mereka untuk beraksi sebagai pemain Malaysia.

Tribunal berkenaan boleh dianggap sebagai ‘mahkamah’ dalaman FIFA yang berfungsi meneliti kes berkaitan peraturan serta kelakuan dalam bola sepak.
Tribunal ini terdiri daripada tiga panel utama iaitu ahli jawatankuasa disiplin, ahli jawatankuasa rayuan dan ahli jawatankuasa status pemain dan kelayakan.

Ketiga-tiga jawatankuasa terbabit akan bersidang bersama dan risiko hukuman lebih berat boleh dikenakan.