Isu Palestin: Anwar puji Maldives

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyanjung langkah berani Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu menyekat pemegang passport Israel daripada memasuki negara itu.

Langkah itu adalah sebagai tanda solidariti terhadap kekejaman yang dilakukan Israel terhadap warga Palestin, katanya di forum Perniagaan Maldives-Malaysia 2025..

Dr Mohamed Muizzu berada di sini atas rangka lawatan rasmi pertama beliau sejak menjadi presiden November 2023.

Anwar juga menegaskan Malaysia sedang menggiatkan ikhtiar memperkukuh kerjasama dalam Asean dan negara jiran lain seperti Maldives.

Pisang mas terbaik dunia

Jangan terkejut jika pisang yang banyak ditanam di Malaysia diiktiraf oleh dunia sebagai pisang terbaik 2025.

Sesuai dengan namanya, pisang mas dinobat sebagai pisang terbaik berdasarkan kriteria dan anaugerah dari The Tasteatlas, sebuah laman panduan makanan global.

Dalam senarai 10 pisang terbaik dunia, pisang mas dari Malaysia menduduki tangga pertama, mengatasi pelbagai jenis pisang dari negara lain termasuk India dan Britain.

Anak Tommy Thomas cabar PM Australia

Anak mantan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, Hannah Thomas, akan mencabar Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dalam pilihanraya negara itu pada 3 Mei.

Bertanding atas tiket Greens di Grayndler, Hannah yang asalnya dari Malaysia berpindah ke Australia selepas tamat belajar di sana pada 2009.

“Ia sesuatu yang di luar lanar namun ia adalah mengujakan,” kata calon termuda di Graydler itu yang galak menyokong perjuangan Palestin.

Penduduk Malaysia 34 juta/71 % umur 60 ke atas.

Jumlah penduduk Malaysia kini sudah mencecah 34 juta mengikut statistik yang dikeluarkan pada suku pertama tahun lalu oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menurut jabatan itu, ini adalah pertambahan 2.3 peratus daripada suku pertama 2023.

Data yang dikeluarkan oleh jabatan itu juga menunjukkan jumlah warganegara ialah 30.6 juta (90 peratus) dan bukan warganegara 3.4 juta (10 peratus) manakala nisbah jantina penduduk ialah 111 (lelaki):100 perempuan.

Bilangan warga lelaki meningkat 400 ribu menjadi 17.8 juta sementara perempuan pula meningkat 300 ribu menjadi 16.1 juta.

Produk guna sijil halal Indonesia/DNA babi dikesan

Jakim mengarahkan penarikan serta-merta beberapa produk dari Indonesia yang menggunakan logo sijil halal negara itu kerana mengandungi kesan DNA babi.

Langkah itu diambil berikutan pengumuman Agensi Jaminan Produk Halal (BPJPJ) yang mengesahkan ujian yang dijalankan ke atas produk-produk berkenaan mengesan DNA babi di 11 sampel sembilan produk makanan di negara berkenaan.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menekankan produk-produk makanan berkenaan mungkin bertentangan dengan piawaian halal di Malaysia.

Malaysia intai pasaran Afrika

Negara-negara di benua Afrika dilihat sebagai rakan dagang baru berikutan tarif membabi-buta Presiden Donald Trump yang meninggalkan impak global.

Malaysia tidak ketinggalan mengintai peluang untuk membuka peluang perniagaan yang lebih luas dan mempelbagaikan perdagangan dengan negara-negara di benua itu.

Trump mengenakan tarif 24 peratus ke atas Malaysia.

Emas di sebalik durian?

Penceroboh tanah haram yang menanam durian musang king di Raub, Pahang merobohkan empat jambatan untuk menghalang agensi penguatkuasaan menjalankan tugas-tugas memusnahkan pokok-pokok durian.

Mengapa tindakan begitu berani dilakukan oleh penceroboh-penceroboh berkenaan. Untuk melindungi dan mempertahankan pokok musang king yang memberikan pendapatan lumayan atau ada udang di sebalik batu?

Ramai mendakwa Raub adalah jajaran di Semenanjung yang tersembunyi banyak emas, khususnya di Sungai Klau. Apakah ini yang menyebabkan mereka bersungguh-sungguh mempertahankan ladang berkenaan?

Perspektif Xi selari visi madani

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja tertarik dengan perspektif Presiden Xi Jiping terhadap pembangunan ekonomi yang dianggapnya unik malah memuji sikap dan pendirian pemimpin China itu yang menekankan pertukaran budaya, pembelajaran mengenai tamadun dan kemakmuran bersama.

Dalam temubual dengan China Media Group, Anwar berkata sudut pandang Xi itu selari dengan visi Malaysia Madani yang menekankan nilai, kemanusiaan dan perspektif global.

China-Malaysia meterai 31 MoU

Sebanyak 31 memorandum persefahaman meliputi pelbagai sektor dimeterai di antara China dan Malaysia sempena kunjungan Presiden Xi Jinping ke Malaysia bagi menggambarkan kepentingan negara dari segi peranannya dalam Asean dan hubungan dua hala dengan Beijing.

Lawatan Xi dilihat penting bagi kedua-dua negara untuk meningkatkan pelaburan dan perdagangan .

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Zafrul Aziz menyifatkan memorandum persefahaman yang ditandatangani itu menunjukkan komitmen kedua-dua negara untuk meningkatkan pelaburan dan perdagansn

Bermulanya era gemilang: Xi Jinping

Presiden Xi Jinping menyifatkan hubungan Malaysia dengan China akan memasuki era gemilang baru (new golden era) pada waktu perang tarif global semakin menjadi-jadi.

Beliau berharap usahasama China-Malaysia dan lawatannya ke Kuala Lumpur akan membuahkan hasil memberangsangkan serta membawa kepada permulaan era “50 tahun emas” baru.

China juga mahu lawatan ke sini membuka lembaran baru dalam sejarah hubungan kejiranan mesra dan perdagangan yang menguntungkan kedua-dua negara.

Blood Brothers kutip RM21 juta

Filem Blood Brothers yang penuh aksi berupaya mengutip RM21 juta dalam tempoh tayangan empat hari. Filem ini mengangkat tema kepercayaan, pengorbanana dan nilai sebuah persaudaraan dalam dunia penuh tipu daya.

Saksama teras ekonomi Madani

Pembangunan yang saksama merupakan antara teras utama dalam kerangka Ekonomi MADANI, bagi memastikan semua wilayah dapat memperkukuh asas ekonomi masing-masing dan menyumbang kepada kemajuan negara secara menyeluruh.

Justeru, bagi negeri-negeri yang mencatat Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita terendah di Semenanjung Malaysia — Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu — Kerajaan MADANI telah meningkatkan Perbelanjaan Pembangunan dari tahun ke tahun. Langkah ini bertujuan membina prasarana kritikal dan menambah baik kemudahan yang telah lama ketinggalan.