14,000 bayi Gaza kebuluran

Andainya tiada bantuan makanan tidak disalurkan ke Gaza dalam tempoh 48 jam, 14,000 bayi mungkin mati kebuluran, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pada 19 Mei, lima trak memasuki Gaza yang hancur lebur tetapi ia ibarat setitik air di lautan, kata Ketua Bantuan PBB, Tom Fletcher.

Israel mengepung Gaza dan menghalang bantuan memasukinya sejak 2 Mac.

Pakar-pakar kemanusiaan antarabangsa berkata, kebuluran tahap gaban sedang melanda Gaza yang dihuni oleh 2.3 juta penduduk Palestin.

Gajah masuk kawasan sekolah

Lebih 1,500 penduduk di Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar Chali, Gua Musang, Kelantan ketakutan apabila sekawan gajah liar semakin kerap memasuki kawasan sekitar penempatan itu.

Baru-baru ini, tiga ekor gajah itu menceroboh kawasan Sekolah Kebangsaan Chalil menyebabkan warga sekolah bimbang akan keselamatan pelajar, bangunan dan diri mereka.

Gajah-gajah itu merosakkan pintu pagar sekolah, pokok sawit, pisang dan kelapa.

Penduduk memohon agar gajah-gajah berkenaan dipindahkan dari kawasan itu. Jabatan Perhilitan sudah menerima laporan mengenainya.

Liga Eropah/Spurs 1 MU 0

Tottenham Hotspur menewaskan Manchester United 1-0 untuk memenangi Piala Eropah dalam aksi final. Ini adalah gelaran pertama Spurs sejak memenangi Piala Liga Inggeris pada 2008 dan kejuaraan Eropah pertama sejak 1984.

Had usia pencen 65 tahun wajar

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyarankan had usia persaraan di Malaysia dinaikkan daripada 60 kepada 65 tahun.

Beliau berkata, perubahan had usia bersara itu wajar kerana ramai di kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas masih aktif.

Katanya, ada beberapa negara lain sudah melaksanakan had usia bersara sehingga 65 tahun.

“Ini pandangan peribadi saya. Mungkin kerajaan patut menimbangkan had usia persaraan 65 tahun. Sekarang ramai orang tua masih kelihatan muda,” katanya.

PTU pamer terbang Toruk Makto di Lima 25

Panglima Tentera Udara (PTU) Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan menjadi PTU pertama menerbangkan pesawat dalam pertunjukan Udara Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi sejak dianjurkan 1991.

Sokongan terhadap Trump turun

okongan terhadap Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menurun kepada 42 peratus, menyamai tahap terendah dalam penggal barunya.

Tinjauan terkini Reuters/Lpos mendapati penurunan itu dikaitkan dengan kebimbangan berterusan rakyat Amerika terhadap pengurusan ekonomi negara itu.

Tinjauan tiga hari itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding minggu sebelumnya di mana 44 peratus rakyat Amerika menyatakan sokongan terhadap kepimpinan beliau.

Walaupun angka itu rendah mengikut piawai sejarah, populariti Trump masih lebih tinggi berbanding kebanyakan tempoh penggal pertamanya dan lebih kukuh daripada Joe Biden.

Wan Azizah yakin PKR boleh tawan Kelantan

Parti Keadilan Rayat (PKR) berpotensi menawan Kelantan dengan komitmen dn semangat muda parti itu, kata Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Menurutnya, kerjasama erat dalam parti turut menjadi faktor utama yang boleh menarik lebih ramai untuk menyertai perjuangan parti itu.

“Bukan senang orang nak undi kita. Anak muda kena ambil alih dan jangan ambil mudah. Kita kena bangunkan parti,” katanya di majlis hitea di Kota Bharu Selasa lalu.

Beliau juga menasihatkan ahli parti agar sentiasa berpegang kepada integriti dan amanah.

Satu Dunia Untuk Kesihatan

Mengiktiraf isu kesihatan bersifat pelbagai dimensi dan rentas negara membabitkan perubahan iklim, ketidaksamaan ekonomi dan cabaran geopolitik adalah bukti komitmen Asean terhadap tema Perhimpunan Kesihatan Sedunia, iaitu ‘Satu Dunia Untuk Kesihatan’, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad.

Perkara itu dinyatakan beliau melalui kenyataan mewakili Malaysia selaku Pengerusi Asean bagi pihak negara anggota sempena WHA78 yang berlangsung di Palais des Nations, Geneva.

Menurutnya, susulan pandemik Covid-19, Asean menegaskan komitmen bersama ke arah memperkukuh aspek keselamatan kesihatan global, dengan dipandu prinsip solidariti dan kebersamaan.

Tupai King durian bangsawan

Durian jenis tupai king kini semakin digemari di kalangan peminat raja buah itu selepas ia digelar durian bangsawan kerana kualiti premium, rasa luar biasa dan aroma unik.

Harganya pula kini meningkat sehingga RM130 sekilogram, sekaligus menjadikannya durian tempatan termahal ketika ini, mengatasi Musang King dan Black Thorn.

Berasal dari Pulau Pinang, Tupai King berkulit hijau keperangan dan dan mempunyai ciri-ciri buah berbentuk bujur seperti telur dengan pangkal membulat dan hujung menajam.

Beranikah anda mencuba?

Lima 25: Kerjasama hadapi cabaran global

Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) mencerminkan komitmen Malaysia terhadap kesiapsiagaan pertahanan, keamanan serantau dan kerjasama strategik dalam menghadapi cabaran keselamatan global, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

25 jalan utama ditutup sempena Asean

Enam lebuh raya dan 25 jalan utama di sekitar ibu negara akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat sempena Sidang Kemuncak Asean Ke-46 yang berlangsung minggu ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata penutupan dan lencongan jalan dilakukan secara berjadual mengikut keperluan pergerakan delegasi dan tahap keselamatan.

Katanya, langkah itu, membabitkan kawalan laluan dan pergerakan konvoi delegasi dari hotel penginapan ke lokasi mesyuarat serta tempat lawatan rasmi bermula 23 hingga 28 Mei.

Menurutnya, penutupan dan lencongan jalan akan bermula seawal jam 7.30 pagi dan dijangka berterusan secara berperingkat hingga 8 malam sepanjang tempoh persidangan.

Pahang lucut 1,082 hak milik tanah

Pahang melucutkan 1,082 hak milik tanah apabila pemiliknya gagal menjelaskan tunggakan cukai tanah berkenaan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata daripada jumlah itu 838 pemilik tanah tidak mengemukakan permohonan bagi pembatalan pelucutan hak.

Menurutnya, berdasarkan rekod terkini, jumlah kutipan hasil penalti berkaitan tunggakan cukai tanah yang dikutip mencecah RM1.4 juta.

“Ini bermakna bukan sahaja tanah dikerjakan secara tidak sah malah tanah tidak bayar cukai pun boleh dirampas,” katanya baru-baru ini.