Petronas Dagangan untung RM1.14 bilion

Foto Fail / Reuters

KUALA LUMPUR: RM1.14 bilion. Inilah catatan keuntungan tertinggi Petronas Dagangan Bhd (PDB) sejak 2021.

PDB menutup tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dengan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM1.14 bilion, didorong oleh jualan bahan api lebih tinggi serta peningkatan penggunaan digital.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025, PDB merekodkan hasil sebanyak RM10.6 bilion, meningkat 18 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Peningkatan itu didorong kenaikan lapan peratus dalam jumlah jualan susulan jualan Jet A1 lebih tinggi serta pertumbuhan berterusan Mogas selepas pelaksanaan program Budi Madanai RON95 (BUDI95).

PAT suku tahunan turut meningkat kepada RM273.3 juta, menokok RM12.9 juta tahun ke tahun, apabila permintaan yang lebih kukuh membantu mengimbangi pergerakan harga bahan api yang kurang memberangsangkan.

Bagi tempoh 12 bulan, meskipun harga jualan purata lebih rendah, PDB mencatatkan hasil RM38.3 bilion, meningkat satu peratus berbanding tahun kewangan 2024.

PAT juga naik dua peratus kepada RM1.14 bilion, bertambah RM19.9 juta berbanding tahun sebelumnya.

Jumlah jualan tahunan mencapai paras tertinggi baharu sebanyak 17.1 bilion liter, dipacu permintaan kukuh bagi Jet A1 dan Diesel Komersil.