
PADANG RENGAS: Apa kaitan belajar psikologi di Universiti of Iowa, Amerika Syarikat dengan menternak haiwan, tapi itulah yang dilakukan oleh Mohamad Zainul Hilmi Mohamad Wajdi.
Anak muda 33 tahun ini tidak menyesal membuat keputusan menceburi bidang penternakan secara aktif serta pengkomersilan ayam belanda secara sepenuh masa.
Santing Agri Farm di Kampung Lalang, yang diusahakan Mohamad Zainul Hilmi Mohamad Wajdi, 33, sejak tahun 2018 kini menternak kira-kira 2,000 ayam belanda selain beberapa ternakan lain termasuk puluhan lembu serta biri-biri jenis Barbados Blackbelly.
Ladang seluas dua hektar itu turut menjual makanan dan barangan ternakan bagi unggas serta ruminan di ladang. Ia termasuk dedak bokashi, bahan kompos organik yang dihasilkan melalui proses penapaian (fermentasi) dan dihasilkan dengan formulasi tersendiri.
Lepasan bidang psikologi dari University of Iowa, AS itu berkata, semuanya berputik daripada minatnya yang menggemari haiwan eksotik.
Pada masa sama, sejurus tamat pengajian universiti, beliau diamanahkan mengambil alih tanah yang sebelum itu diusahakan oleh ibunya dengan tanaman pertanian.
“Emak saya membuka tanah ini sejak 2013 untuk tanaman fertigasi seperti cili, terung dan kacang bendi. Selepas saya ambil alih, saya ubah fokus kepada penternakan kerana minat terhadap haiwan,” katanya.
Sumber: Berita Harian.