
KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke, berkata negaranya menyasarkan peningkatan dalam pelaburan dan perdagangan dengan Malaysia pada tahun depan.
Menurutnya, peningkatan pelaburan adalah antara salah satu objektif Australia di Malaysia, berdasarkan daya tarikan negara itu di rantau Asean.
“Malaysia berada di kedudukan yang amat baik memandangkan ekonominya sedang berkembang selain mempunyai peluang yang kukuh dalam sektor teknologi,” katanya.
Antara faktor lain yang mempengaruhi adalah penambahbaikan dalam persekitaran kawal selia, kestabilan politik dan set kemahiran serta keupayaan berbilang bahasa, yang turut menjadi elemen penting dalam mempengaruhi keputusan pelabur, katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa pelaburan Malaysia di Australia masih kurang.