
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) mengharumkan nama negara apabila muncul sebagai juara dalam pertandingan Eindhoven Semicon Summer School (ESSS) 2025 yang berlangsung di Eindhoven, Belanda dari 25 hingga 29 Ogos lalu.
Pelajar Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan (FK) UPM, Muhammad Zulfakhri Zulkifli, yang membawa projek bertajuk “Ke arah Sistem Fotonik Jalur Lebar Bersepadu: Pembangunan Konsep Instrumen Spektroskopi Masa Nyata Mudah Alih itu berjaya menewaskan 75 peserta lain dari pelbagai negara.
Lebih membanggakan, Zulfakhri adalah satu-satunya wakil dari Malaysia yang menghimpunkan 80 peserta dari lebih 20 universiti terkemuka dunia, termasuk institusi ternama dari Eropah
“Saya berbesar hati dapat mewakili UPM dan Malaysia di pentas antarabangsa ini menerusi jemputan rasmi kedutaan Belanda ke FK UPM.
“Program ini memberi pendedahan berharga mengenai teknologi semikonduktor dan kemenangan ini menjadi pemangkin untuk saya terus menyumbang kepada pembangunan teknologi negara,” katanya.