
KUALA LUMPUR: Timbalan Akauntan Negara (Korporat), Zainani Jusoh, dilantik sebagai Akauntan Negara yang baharu berkuat kuasa semalam.
Pelantikan Zainani itu diumumkan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dalam kenyataan bagi menggantikan Datuk Nor Yati Ahmad yang bersara wajib.
“Surat pelantikan Zainani sebagai Akauntan Negara telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Putrajaya pada 27 Ogos lepas,” menurut kenyataan itu.
Zainani yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan adalah akauntan bertauliah serta ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA).
“Zainani berpengalaman sebagai penjawat awam lebih 30 tahun apabila mula menyertai sektor awam pada 1994 sebagai akauntan di Pasukan Petugas Sistem Perakaunan Mikro, JANM.
“Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah berkhidmat di pelbagai jabatan dan kementerian antaranya Lembaga Peperiksaan Malaysia, Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Luar serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” menurut kenyataan itu.