
KUALA LUMPUR: Waytha Moorthy pernah mendakwa Datuk Sei Anwar Ibrahim ada niat tersembunyi di sebalik keputusan untuk tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara.
Namun, hari ini Pengerusi Parti Pembangunan Malaysia (MAP) itu memohon maaf kepada Perdana Menteri.
Dalam pernyataan maafnya, Waytha berkata: “Saya secara silap menyatakan (Anwar) tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara (Tengku Maimun Tuan Mat) kerana dia sebelum ini pernah memberikan penghakiman melibatkan (Anwar) dalam kes di Mahkamah Rayuan, berdasarkan maklumat yang disampaikan kepada saya sebelumnya.
“Namun, selepas menyemak rekod rasmi kehakiman pagi ini, saya mendapati bahawa (Tengku Maimun) tidak pernah menjadi sebahagian daripada mana-mana panel hakim dalam kes rayuan (Anwar),” katanya dalam kenyataan itu.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) itu turut memohon maaf kepada Tengku Maimun.
Katanya, dia mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan mengakui kenyataannya itu “tidak benar” dan berlaku akibat “kesilapan tanpa niat buruk” di pihaknya.
“Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada (Anwar) atas kesilapan fakta ini serta sebarang salah faham atau persepsi negatif yang mungkin timbul terhadapnya akibat kenyataan saya,” katanya.
Waytha turut menyuarakan harapan agar mereka yang merakam atau menyiarkan kenyataannya akan memadam kandungan tersebut bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat.
Tengku Maimun berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara dari 2 Mei 2019 hingga 1 Julai tahun ini sebelum bersara wajib.