
KUALA LUMPUR: Pelanggan dan orang ramai dinasihat supaya berwaspada terhadap sebarang panggilan mencurigakan yang mengaku daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Kenyataan itu susulan kejadian seorang pelanggan diperdaya individu melalui panggilan telefon yang memperkenalkan diri sebagai warga kerja syarikat berkenaan.
TNB menerusi hantaran di Facebook TNB CareLine memaklumkan pihaknya mengambil maklum dan bersimpati dengan kejadian penipuan membabitkan panggilan telefon yang dilaporkan berlaku di Terengganu dan sedang meneliti maklumat berkaitan sebelum bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi tujuan siasatan lanjut.
Orang ramai juga diingatkan agar tidak mendedahkan sebarang maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, alamat atau rekod akaun melalui telefon tanpa pengesahan.
Sebagai langkah keselamatan, TNB meminta pelanggan yang menerima panggilan meragukan supaya menghubungi TNB CareLine di 1300-88-5454 bagi mendapatkan pengesahan.
Seorang pesara kerajaan wanita berusia 71 tahun dari Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu kerugian RM50,000 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon.