
KUALA LUMPUR: Beberapa jam selepas digempur secara besar-besaran, warga asing khususnya daripada kalangan etnik Rohingya, kembali memenuhi kawasan Pasar Selayang.
Di sekitar Jalan Selayang Baru di sini, kegiatan harian warga asing itu kembali seperti sebelum digempur.
Bagaimanapun, jumlah mereka tidak seramai seperti sebelum operasi.
Rata-rata mereka kembali menjalankan perniagaan kecil-kecilan di kaki lima, bekerja di kedai jualan barang basah, selain menjual makanan kepada warga asing lain seperti warga Myanmar, Nepal, Bangladesh dan India.
Perniagaan berlesen yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) milik warga tempatan di situ juga turut menggajikan warga Myanmar, Bangladesh, Nepal dan India.
Ramai warga asing Myanmar terutamanya Rohingya, menjalankan perniagaan haram, menyebabkan keadaan persekitaran tidak bersih dan mendatangkan bau yang tidak nyaman.