Wajibkan pemandu mabuk dipenjara, bayar ganti rugi

Foto BH

PUTRAJAYA: Mereka yang memandu bawah pengaruh alkohol atau dadah wajib membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa jika cadangan pindaan lanjut terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 diluluskan.

Kementerian Pengangkutan (MOT) juga sedang merangka bagi mewajibkan pesalah menjalani hukuman penjara.

Menterinya, Anthony Loke, menegaskan kerajaan komited untuk terus memperkukuh undang-undang dan penguatkuasaan demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.

Beliau berkata, MOT memandang serius kejadian nyawa terkorban angkara pemandu bawah pengaruh alkohol mahupun dadah, malah kerajaan tidak akan berkompromi dalam hal berkenaan.

“MOT merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Amirul Hafiz Omar yang terbabit nahas tragis di Jalan Raya Barat, Klang, akibat pemandu berada bawah pengaruh alkohol serta dadah seperti yang dilaporkan media.

“Kehilangan ini amat menyayat hati dan insiden sebegini bukan saja meragut nyawa tidak berdosa, malah menjadi satu bentuk kecuaian jenayah yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.

Media melaporkan seorang penunggang motosikal maut akibat dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki mabuk di Jalan Raya Barat, Klang, kelmarin.