Wabak babi Afrika ancam Harimau Malaya

Foto Hiasan / save malayan tiger

KOTA BHARU: Jika skuad bolasepak Harimau Malaya mengadapi masalah dengan FIFA, harimau Malaya pula diancam wabak Demam Babi Afrika (ASF) dihutan Endau Rompin, Johor.

Wabak itu dikenal pasti sebagai ancaman besar terhadap populasi babi hutan dan babi berjanggut yang menjadi sumber makanan utama harimau Malaya di hutan.

Penularan ASF turut memberi kesan kepada hidupan liar lain serta masyarakat manusia yang tinggal berhampiran kawasan hutan berkenaan.

Penyelidik Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar (WCS) Malaysia, Yugess Rao, berkata virus ASF yang mula dikesan pada 2022 telah menyebabkan penurunan mendadak populasi babi hutan dan babi berjanggut.

Kajian beliau yang menggunakan lebih 300 perangkap kamera di seluruh kawasan, mencatatkan kejatuhan populasi babi yang ketara termasuk penemuan 11 bangkai babi hutan dan tujuh bangkai babi berjanggut pada 2022.

“Data kamera dari 2019 hingga 2023 menunjukkan penurunan populasi sebanyak 99.6 peratus bagi babi berjanggut dan 81.6 peratus bagi babi hutan.

“Kekurangan sumber makanan semula jadi menyebabkan Harimau Malaya mula menyesuaikan diri dengan mencari sumber makanan baharu di luar hutan termasuk menyerang ternakan lembu milik penduduk,” katanya kepada Bernama pada Persidangan Persatuan Perubatan Pemuliharaan Asia, di sini, baru-baru ini.